Memang menjadi fitrah manusia sukakan sesuatu yang cantik dan wangi.
Ini kerana Allah juga sukakan kecantikan dan menggalakkan hamba-Nya
berhias dengan pakaian yang cantik untuk mengerjakan ibadah. Hal ini
bersesuaian dengan maksud surah Al-A’raaf, ayat yang ke-31:
“Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah berhias
pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan solat), dan
makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya
Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.”
Galakan untuk berhias ini bukan sahaja untuk kaum lelaki, bahkan juga
untuk kaum wanita. Akan tetapi, perhiasan kaum wanita hanya terhad
kepada golongan tertentu. Mereka tidak boleh berhias dan mempamerkan
perhiasan mereka pada khalayak ramai seperti firman Allah dalam surah
An-Nuur, ayat 31 yang bermaksud:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya
menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan
memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan
perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah
mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada
suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak
mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau
anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi
saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam,
atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang
telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak
yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka
menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari
perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai
orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Terdapat beberapa hukum tentang wanita memakai minyak wangi iaitu harus, sunat, makruh dan haram. Wallahu’alam.
Harus
Seseorang wanita itu dikatakan harus memakai wangi-wangian ketika suami
berada di rumah terutamanya ketika ingin melayan suami mereka. Selain
daripada itu, wanita tidak diharuskan memakai wangi-wangian. Nabi s.a.w
telah bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu…” (Riwayat an-Nasa’is dari Abu Hurairah)
Ini bererti seorang wanita itu haruslah sentiasa kelihatan menarik dari
segi akhlak dan penampilannya agar dapat menyenangkan hati suaminya.
Sunat
Sunat bagi wanita berwangian ketika berada di rumahnya, ketika ingin
menunaikan solat dan beribadah di dalam rumahnya, dan juga ketika
menyambut tetamu wanita.
Terdapat hadis yang menjelaskan wanita juga digalakkan berwangi-wangian
tetapi bukan pada tempat yang telah dilarang. Rasulullah telah bersabda
yang bermaksud:
“Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi
warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang
(jelas) warna dan tersembunyi baunya” (Riwayat al-Tarmizi)
Wanita juga disunatkan memakai wangian sebelum melakukan ihram. Aisyah r.a berkata:
“Kami (isteri-isteri Rasulullah s.a.w) pergi menunaikan haji
bersama Rasulullah s.a.w. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak
wangi yang terbaik di kening kami. Ketika salah seorang di antara kami
berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah
s..aw melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya nabi s.a.w
tidak melarang)” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Makruh
Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini telah umum
disepakati oleh ulama dan terdapat penjelasan dalam bab puasa.
Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alasan ialah fatwa Imam
Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan “makruh memakai wangi-wangian
ketika berpuasa”. Menurut Qaliyubi pendapat itu ialah pendapat ijmak.
Haram
“Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi satu kaum (orang banyak) maka dia itu adalah perempuan zina” (Abu Dawud, Tirmidzi)
Nabi s.a.w bersabda:
“Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke
masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu
(membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut).” (Sahih riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)
Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah bertemu dengan seorang
wanita sedang pulang daripada masjid dan ia berbau wangiannya, lalu
beliau menegur:
“Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid. Rasulullah
s.a.w pernah bersabda bahawa Allah s.w.t tidak akan menerima solat
wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan
mandi……” (Abu Daud, An-Nasaie, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)
Abu Musa meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda:
“Setiap mata itu berzina (apabila memandang dengan nafsu wanita
yang asing). Dan seorang wanita yang memakai wangi-wangian kemudian
melalui sesuatu majlis, maka ia adalah demikian, demikian…(penzina)” (Riwayat Tirmidzi)
Daripada hadis-hadis di atas, maka jelaslah bahawa kaum wanita
diharamkan memakai wangi-wangian ketika keluar dari rumah dan juga
dilarang berhias berlebih-lebihan kecuali di rumah terutamanya di
hadapan suaminya.
Allah jualah yang Maha Mengetahui. Wassalam.
No comments:
Post a Comment